Tajuk Esei: CABARAN - CABARAN DALAM PENYEMBAHAN DI GEREJA (3000 patah perkataan) Nama Pelajar: Manuel Bin Akiun. Program: Bachelor Divinity (BD). Pensyarah: Dr Judy Berinai. Kredit: 2 jam (30 jam kuliah) Tarikh: 19.1-25.5.2022 Pengenalan Kata cabaran berasal dari kata Latin “impugnare” yang bermaksud menyerang dalam bentuk idea melalui hujah, meminta pembatalan, penggantian atau pengubahsuian tindakan tertentu yang didakwa tidak adil atau menyalahi undang-undang yang menjadi penyebab keluhan dalam sesuatu proses (MAKNA CABARAN…encyclopedia-titanica.com). Impugnare juga di terjemah “meragukan, “dipersoalkan”, “penentang-penentang” (https://ww.english-malaya.net). Melihat kepada definiasi cabaran tersebut dapat kita bayangkan betapa rumitnya mengadakan penyembahan di gereja sebab perlu berdepan dengan cabaran-cabaran. Dalam esei pendek ini saya cuba menelusuri apakah cabaran-cabaran itu melalui kajian dalam alkitab, pemerhatian dan pengalaman sendiri dalam dan luar gereja kami dan cara mengatasinya. Di mana kita menyembah Ketika Tuhan Yesus menunggu murid-murid-Nya yang pergi membeli makan, Dia berada di salah satu perigi di Samaria, tiba-tiba ada seorang perempuan datang untuk menimba air. Tuhan Yesus menyapa perempuan untuk meminta air untuk Dia minum. Tetapi perempuan itu agak keberatan sebab mana mungkin seorang Yahudi minum air dari bekas orang Samaria, (Yohanes 4:6-9). Tuhan Yesus sangat faham permusuhan antara dua bangsa yang hidup berjiran sejak sekian lama itu. Masing-masing dengan ego dan keyakinan masing-masing. Antara perdebatan sepanjang zaman mereka ialah tempat menyembah TUHAN, orang Yahudi mengatakan di Yerusalem tetapi orang Samaria mengatakan di bukit Gerisim (Yohanes 4:20). Tetapi Tuhan Yesus mengatakan; “Tetapi saatnya akan datang dan sudah tiba sekarang, bahwa penyembah-penyembah benar akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; sebab Bapa menghendaki penyembah-penyembah demikian. Allah itu Roh dan barangsiapa menyembah Dia, harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran” (Yohanes 4:23-24) Salah satu cabaran dalam penyembahan ialah tempat menyembah, dalam konteks orang Yahudi dan Samaria antara bukit Sion atau bukit Gerisim, mereka mempunyai alasan masing-masing yang sangat rohani. Dalam konteks masyarakat kita pula pemilihan gereja tempat beribadah, walaupun satu denominasi ada kecederungan milih tempat beribadah yang jauh dari rumah kediaman dengan alasan lebih serasi beribadah di sana. Ada beberapa individu yang saya kenal mereka berpindah-pindah tempat beribadah disebabkan ada perselisihan faham. Seolah-olah tempat beribadah itu untuk mencari kesenangan bukan tempat beribadah. Saya yakin kalau kita menyediakan roh yang benar untuk menyembah TUHAN tiada masalah dengan tempat penyembahan intah itu di gereja ini atau gereja itu. Seperti yang dikatakan Tuhan Yesus kepada perempuan Samaria bahawa telah tiba waktunya bukan lagi tempat yang menjadi persoalan tetapi penyembah yang benar ialah dari roh yang benar semasa menyembah Bapa. Hari kita menyembah Saya ada kawan sekelas dalam tingkat 3 pada tahun 1990 kebetulan kami duduk bersebelahan, dia penganut agama yang beribadah pada hari ke tujuh. Asal saja ada peluang dia akan bercerita tentang hari yang benar menyembah TUHAN, secara tidak langsung dia cuba meyakinkan saya supaya menganuti aliran agama mereka. Tetapi saya sedikit pun tidak terbuka hati menerima sampailah sekarang. Sebab itu Ia menetapkan pula suatu hari, yaitu “hari ini”, ketika Ia setelah sekian lama berfirman dengan perantaraan Daud seperti dikatakan di atas: “Pada hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, janganlah keraskan hatimu” (Ibrani 4:7) Bukan persoalan hari tetapi soal hati kita mahu menerima atau tidak perhentian itu, perhentian yang bermaksud bersama TUHAN berhenti bekerja dan datang menyembah TUHAN. Di negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah dan Johor hari cuti hujung minggu mereka pada hari Jumaat dan hari Sabtu ialah hari bekerja mereka, kalau terikat dengan hari ketujuh sebagai hari perhentian agak sukar bagi mereka. Hari menyembah TUHAN pun salah satu cabaran dalam penyembahan bagi orang Kristian kalau tidak menerima kebenaran ajaran Perjanjian Baharu. Orang Kristian tidak perlu merayakan hari Sabat. Orang Kristian berada di bawah Hukum Kristus, yang tidak merangkumi hukum untuk menyambut hari Sabat. (Galatia 6:2; Kolose 2:16, 17 https://www.jw.org/ms/ajaran-bible/soalan/kristian-sabat/) Bukan saja tidak perlu merayakan hari Sabat, tetapi tidak perlu juga mengkhususkan satu hari dalam seminggu sebagai hari Sabat, walaupun begitu oleh sebab kebanyakan negara hari minggu adalah hari cuti hujung minggu orang Kristian pun menggunakan cuti itu untuk beribadah kepada TUHAN. Tiada perintah dalam Alkitab yang menyatakan bahawa orang Kristian harus mengkhaskan hari Ahad sebagai hari untuk berehat dan sembahyang. Orang Kristian pada abad pertama juga bekerja pada hari Ahad. The International Standard Bible Encyclopedia menyatakan, “Pada abad keempat, Konstantin mengeluarkan perintah agar sesetengah kerja tidak patut dibuat pada hari Ahad. Sejak itu, hari Ahad mula menjadi seperti hari Sabat.” (https://www.jw.org/ms/ajaran-bible/soalan/kristian-sabat/) Jelaslah bahawa tiada hari dalam seminggu itu yang telah dikhaskan sebagai hari berehat dan beribadah kepada TUHAN bagi orang Kristian. Cabaran penyembahan tentang hari bukan lagi penghalang bagi kita sebenarnya, kalau mengetahui kebenaran dan mahu menerima pengajaran Perjanjian Baharu. Cara kita menyembah Sebagai orang Kristian aliran Lutheran saya dibesarkan dengan lagu-lagu hyms gereja yang diwarisi dari para mubalig Jerman dan Swistzerland tanpa iringan muzik, duduk dan berdiri saja semasa kebaktian penuh tertib. Tiba-tiba pada tahun 1985-1990 gerakan krismastik melanda gereja kami, masa itu saya masih remaja, agak bercelaru juga hati saya dengan perilaku cara penyembahan baharu ini, bukan saya sahaja malahan orang dewasa dan para pemimpin gereja juga agak terkejut dan rasa gelisah dengan kehadiran mereka, menggunakan alat muzik, lagu-lagu masa kini dengan rentak yang rancak dan lagu yang sangat sayu sehingga mereka menangis. Ada yang rebah, berteriak, ketawa dan macam-macam lagi reaksi mereka. Doa yang kuat bercampur bahasa yang pelik, bukan satu orang berdoa tetapi semua jemaat yang hadir. Kebaktian boleh berlangsung sehingga larut malam. Saya masih ingat saya dan pakcik (adik bapa saya) mengintai dari jauh kebaktian kebangunan rohani pada waktu malam di gereja kami. Kadang kami ketawa melihat gelagat mereka menyembah, dalam fikiran saya cara mereka itu salah. Salahkan penyembahan Krismatik atau ini pun kepelbagian karya Roh Kudus membawa umat penyembahan dengan roh yang benar. “Kamu menyembah apa yang kami kenal, sebab keselamatan datang dari bangsa Yahudi,” (Yahanes 4:22). Bukanlah cara yang penting dalam penyembahan tetapi pengenalan kita terhadap TUHAN yang kita sembah. Penyembahan yang benar membawa perubahan kepada penyembahnya, tidak kisahlah bagaiman cara peyembahan tetapi kesanya pada si penyembah itu. Penyembahan merupakan kata yang akrab di telinga orang percaya. Namun sayang, ramai orang yang belum memahami makna sesungguhnya dari penyembahan. Penyembahan bukan bicara tentang liturgi, tetapi penyembahan adalah kehidupan itu sendiri. Mengetahui tentang penyembahan tidak akan berdampak apa pun, tetapi menyembah Tuhan akan mengubah hidup kita.( https://pnwhim.wordpress.com/2014/02/15/penyembahan-yang-mengubah-hidup/) Pengenalan kita terhad TUHAN yang kita sembah membawa perubahan dalam hidup, inilah yang kita mahu dalam penyembahan tidak hanya dalam ruang kebaktian berlangsung tetapi dalam kehidupan seseorang penyembah itu, bukan caranya tetapi kesannya dalam kehidupan. Bahasa penyembahan Negara kita terkenal dengan kemajmukan masyarakatnya, terutama di Sabah dan Sarawak, lebih kurang 33 etnik di Sabah berkomunikasi 50 bahasa dan 80 dialek. (https://infomasimalaysia.wordpress.com/2017/01/15/first-blog-post/) Kita dapat bayangkan betapa menariknya penyembahan di gereja andai kata semua etnik ini menggunakan bahasa mereka masing-masing. Syukurlah sebab gereja zaman sekarang tidak menghalang penggunaan apa juga bahasa dalam gereja, alkitab juga bebas diterjemah dalam pelbagai bahasa. Tidak seperti abad-abad sebelum era refomasi (sebelum tahun 1517), adalah menjadi kesalahan dan dosa kalau mengadakan ibadah kalau bukan dalam bahasa Itali (Latin) atau menterjamah alkitab selain bahasa itu. Seseorang boleh dihukum bunuh oleh gereja kalau melakukan perbuatan tersebut. Bahasa juga menjadi penghalang penyembahan dalam gereja, saya teringat ketika belajar dulu di Malaya (1998) dan dihantar praktikal ke daerah yang jarang ada gereja berbahasa Malaysia, sebab sudah biasa beribadah pada hari minggu mau tidak mau mencari gereja yang terdekat dari asrama. Pernah saya ikut kebaktian dalam bahasa Tamil di salah satu gereja di Manjung Perak. Sukar merasakan suasana penyembahan sebab saya tidak faham bahasa yang gunakan. Sebab itu pemilihan bahasa yang digunakan sangat penting dalam satu-satu kebaktian supaya semua yang hadir dapat mengikuti kebaktian sepenuhnya. Bukan saja bahasa tetapi penggunaan istelah semasa berkhutbah pun mesti difahami oleh anggota jemaat melalui penerangan pengkhutbah, supaya semua dapat belajar dan diberkati. Gangguan semasa kebaktian Pernah tidak mengalami situasi ketika kebaktian sedang berlangsung tiba-tiba ada budak kecil berlari naik ke pentas kemudian ibunya mengejar anak itu. Atau persembahan koir dari sekolah minggu perlu ditunggu dalam beberapa minit sebab mereka belum bersedia. Pengkhutbah belum sampai terpaksa kebaktian dilambat-lambatkan dan banyak lagi contoh gangguan-gangguan semasa kebaktian. Saya tidak pasti di gereja lain pernah ada pengalaman seperti itu atau tidak tetapi di gereja kami pernah berlaku, sangat menggangu suasan kebaktian. Semua gangguan itu boleh dikurangkan atau boleh dielakkan sebenarnya kalau ada persiapan awal, menurut David R Burfield persiapan tidak kurang dari dua minggu sebelum tarikh kebaktian (Penyembahan yang hidup m/s 179). Antara yang perlu dipersiapkan menurut beliau ialah; 1. Bahagian kebaktian yang mana dipimpin? Keseluruhan atau sebahagian sahaja? 2. Siapakah yang terlibat? (Pengkhutbah / pemimpin yang lain / pemuzik / penyanyi / pembaca Alkitab dan sebagainya) 3. Adakah tema atau kegiatan yang khas? (Musim Paskah / Natal / Pesta Menuai / perayaan ulang tahun). 4. Adakah apa-apa pengkhususan? (Penginjilan / penyegaraan rohani / kebaktian penyembuhan / perjamuan kudus / pembaptisan). 5. Siapakah yang akan menghadirinya? (Bilangan orang / kanak-kanak / pemuda-pemudi / oang kafir / orang tua). 6. Apakah pembacaan leksinori? (Kalau digunakan oleh gereja). 7. Apakah tema khutbah dan adakah apa-apa permintaan dari pengkhutbah? Ini adalah salah satu contoh senarai semak persiapan kebaktian supaya gangguan-gangguan semasa kebaktian dapat dikurangkan. Dalam kebaktian yang bersekala besar ada keperluan melantik seorang pengurus perjalanan kebaktian (Floor manager), dialah yang memastikan pelaksanaan kebaktian berjalan lancar. Tetapi kalau kebaktian umum hari Ahad memadai gembala atau pembantu gembala yang mengambil peranan tersebut, terpulang konteks gereja setempat. Sikap ambil mudah ketika mengadakan kebaktian sering berlaku, mungkin sebab tidak memahai maksud kebaktian itu sendiri, kenapa dan untuk apa kebaktian itu. Tidak mengetahui sikap yang sepatutnya dan meremehkan kebaktian itu sendiri. Ada yang menggunakan telefon, berbual-bual, tidak mengikuti suasana kebaktian, sesuka hati keluar masuk dan sebagainya. Ada keperluan setiap pelayanan gereja mengambil kursus tentang “Kebaktian” supaya tidaklah sampai tak sudah melakukan kesalahan yang sama ketika mengendalikan kebaktian. Saya fikir patut kekalkan subjek “Liturgi dan penyembahan” dalam senarai mata pelajaran di seminari memandangkan prihal pentingnya praktik gereja setiap minggu. Dan keempa makhluk itu masing-masing bersayap enam, sekelilingnya dan di sebelah dalamnya penuh dengan mata, dan dengan tidak henti-hentinya mereka berseru siang dan malam: “Kudus, kudus, kuduslah Tuhan Allah, Yang Mahakuasa, yang sudah ada dan yang ada dan yang akan datang” (Wahyu 4:8) Penyembahan dan pujian kepada Tuhan Yesus akan berterusan di surga seperti yang dilihat oleh rasul Yohanes itu, malahan ada kebaktian di sana siang dan malam. Kebaktian di gereja umpama persediaan memasuki kebaktian surgawi yang akan datang. Semoga kita semua berada di sana bersama-sama memuji dan menyembah Tuhan Yesus. Tidak menepati waktu Pada tahun 1980an di kampung kami (kampung Nongkul Kudat) permulaan kebaktian diadakan di rumah panjang. Belum ada bangunan gereja atau tempat khas mengadakan kebaktian, belangsung kira-kira 40 minit sahaja. Anggota jemaat yang hadir pun sangat sedikit kurang daripada 20 orang, berbanding penghuni rumah panjang 25 buah pintu lebih kurang 100 orang. Kesedaraan mempersiapkan diri setiap kali kebaktian sangat rendah, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku pada hari minggu. Masa kebaktian pun selalu ditarik-tarik dari jam 2 petang sehingga jam 4 petang, kekadang langsung tiada kebaktian sebab penginjil (pengendali kebaktian) tidak muncul-muncul. Cabaran kebaktian tidak menepati masa yang ditetapkan di gereja kami menjadi kebiasaan yang sangat sukar diubah, ia berlarutan sehingga puluhan tahun. Pada era ada bangunan gereja pun kebaktian di gereja kami tidak jauh beza. Pernah saya melayani satu kebaktian di kampung berdekatan dengan kampung kami, janji kebaktian jam 2 petang. Sebab mahu jadi contoh yang baik saya datang di gereja mereka dalam jam 1.30 petang. Kebetulan laluan ke gereja lalu rumah panjang kampung tersebut, mereka pun tahu saya ialah penginjil (pengkhutabah) di gereja mereka pada hari itu. Tetapi mereka langsung tidak terkesan dengan kehadiran awal saya. Saya tunggu kehadiran anggota jemaat, tepat jam 3.30 petang barulah kebaktian bermula. Saya sudah dua jam menunggu dalam hati kalau jam 4 petang tiada anggota jemaat yang hadir saya akan pulang. Tidak menepati masa satu kebiasaan sangat merugikan dan menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Bayangkan kalau kebaktian tepat jam 2 petang dan akan selesai dalam jam 3.30 petang, ada masa lagi melakukan kerja lain. Gereja kami mula menepati waktu kebaktian bermula pada tahun 2000 pada masa itu saya telah menjadi penginjil dan menjadi ketua gereja (pembantu gembala). Memang ada kejutan, ramai anggota jemaat yang lambat ada yang dipenghujung kebaktian mereka tiba. Ada juga sugutan kenapa tidak menunggu mereka. Kebaktian minggu seterusnya ramai yang datang tepat waktu kebaktian, perlahan-lahan semua anggota jemaat hadir lebih awal sebelum janji waktu kebaktian. “Kita harus mengerjakan pekerjaan Dia yang mengutus Aku, selama masih siang; akan datang malam, di mana tidak ada seorang pun yang dapat bekerja (Yohanes 9:4)”. Petikan diatas kata-kata Tuhan Yesus kepada murid-murid-Nya ketika Dia menyembuhkan seorang buta sejak lahir. Tuhan Yesus begitu bersemangat melakukan pelayanan selagi ada waktu sebab Dia tahu masa pelayanan-Nya hanya tiga tahun bukan tiga puluh tahun. Saya dapat bayangkan Tuhan Yesus sangat menghargai masa yang ada, jauh sekali menunda-nunda atau membazir masa. Kebaktian itu untuk TUHAN untuk menyembah dan memuji Dia, bukan hanya suka-suka diadakan atau melambat-lambatkan waktu. Menepati waktu waktu kebaktian seperti yang dijanjikan salah satu cara menghormati dan mengutamakan-Nya melebihi daripada semua yang kita lakukan. Lagu pujian dan penyembahan Ada sekali dua saya melihat di media sosial seseorang menyanyikan lagu pujian Kristian masa kini (kontemporari) dia bukan orang Kristian (bertudung), dia menyanyi dengan penuh penghayatan. Ini lirik lagu itu Banyak perkara Yang tak dapat kumengerti Mengapakah harus terjadi Didalam kehidupan ini Satu perkara Yang kusimpan dalam hati Tiada satupun kan terjadi Tanpa Allah perduli Reff Allah mengerti, Allah perduli Segala persoalan yang kita hadapi Tak akan pernah dibiarkannya ku bergumul sendiri Mungkin kita tidak terfikir pun lagu ini boleh saja dinyanyikan oleh orang lain untuk ditujukan kepada tuhan dan allah mereka, sebab tidak pun disebut nama Tuhan Yesus. Saya tidak bermaksud semua lirik lagu mesti disebut nama Tuhan Yesus, tetapi teologi tentang Tuhan Yesus mesti hadir dalam lirik lagu yang kita nyanyikan dalam gereja. Contoh tentang kematian, kelahiran, ketuhanan, kuasa, penebusan, kasih, tritungal dan sebagainya. Pemilihan lagu-lagu yang sesuai dalam penyembahan dan puji-pujian di gereja bukan mudah, ini pun satu cabaran bagi kita malahan pemilihan lagu perlu disesuaikan dengan musim gereja seperti Paska, Krismas, kesyukuran dan sebagainya. Pakaian Kisah penginjilan di kalangan suku Rungus sekitar tahun 1950an agak menarik, bermula keterbukaan hati para pemimpin Rungus apabila para misinori memakai ‘Singal’ pakaian penutup kepala orang lelaki. Sosok tubuh berkulit putih berhidung mancung (Timpadang Odung dalam bahasa Rungus) digambarkan dalam cerita dongeng suku kaum Rungus sebagai mahkluk pemakan manusia yang rakus dan ganas. Tiba-tiba pula muncul sosok itu di depan mata mereka, apa lagi berlari bertempiaranlah orang Rungus melihatnya. Lucu tetapi tidak lucu bagi mereka pada masa itu, umpama cerita seram muncul depan mata. Para misinori agak terkejut melihat reaksi orang Rungus dan mula mencari idea baharu mendekati mereka. Akhirnya adalah orang Rungus yang lebih terbuka menasihatkan mereka memakai sigal mana tau boleh menghilangkan ketakutan masyarakat pribumi utara Sabah itu. Misinori pun mencuba idea mudah tersebut, memang menjadi, orang Rungus tidak takut lagi sebab melihat sigal atas kepada misinori, mereka beranggapan pemakai sigal adalah orang Rungus atau kawan bukan pemakan mereka. Begitu kuat pengaruh cerita-cerita dongeng dalam kehidupan, mereka bukan saja mendengar tetapi menganggap itu sesuatu yang nyata dalam kehidupan. Sigal umpama kad eksesi para minsinori keluar masuk rumah panjang serata tempat di daerah Kudat dan Kota Marudu. Tambah menarik lagi apabila para misinori mula belajar bahasa Rungus dan ada yang fasih berbahasa Rungus, semakin mudahlah injil diterima dan difahami oleh mereka. Bagi orang Rungus pakaian telah menjadi penghalang mereka meneriam injil dan melalui pakaian jugalah mereka menerima injil. Tanpa sigal orang Rungus tidak akan berada di gereja untuk menyembah TUHAN. Bolehlah kami cakap “Terima kasih kepada sigal”. Pengurusan kewangan Kewangan gereja salah satu isu yang selalu timbul dalam gereja kami (PCS) syukur mula redah pada tahun-tahun terakhir ini, antaranya wang gereja dipinjam oleh invidu tertentu, tiada laporan kewangan ada pun diragui, tiada pembangunan fizikal gereja walhal ada pungutan setiap minggu, peruntukan yang diterima dari kerajaan tidak dilaksanakan dan sebagainya. Mengakibatkan keyakinan jemaat terhadap pengurusan kewangan gereja sangat terganggu sehingga ada yang tidak mahu memberi persembahan, tidak mahu hadir ke gereja, berpindah denominasi dan sebagainya. Mungkin para pemimpin terlepas pandang soal pengurusan kewangan memberi kesan kepada kehadiran dan suasana hati para penyembah TUHAN di gereja. Manakan tidak wang yang mereka beri adalah dari hati dan jiwa raga mereka, ada diantara mereka seperti balu miskin yang memberi wang persembahan (Markus 12:41-44). Walaupun kita diajar memberi dengan suka-cita tetapi kita tidak diajar memberi tanpa tanggungjawab. Maksud saya semua sumbangan dan pemberian mesti diurus dengan penuh integriti, seperti cara rasul Paulus mengurus pemberian untuk jemaat miskin di Yerusalem, dia memaklumkan perjalanan pemberian itu sehingga tiba di Yerusalem (Kis 24:17, 1Korintus 16:3 dan 2Korintus 9:5). Pada tahun 2000 gereja di kampung kami memulakan sesuatu yang jarang dilakukan gereja lain di kalangan gereja PCS, iaitu setiap bulan kami memberi laporan kewangan secara terperinci dalam ruang pengumuman semasa kebaktian umum. Saya tidak pasti secara kebetulan atau memang kesan laporan tersebut, penerimaan wang persembahan semakin meningkat sebab kehadiran anggota jemaat dalam kebaktian umum pun bertambah. Beberapa pembangunan fizikal gereja berjaya kami buat sendiri dengan kewangan gereja tanpa bantuan daripada kerajaan. Wang yang dibelanjakan untuk melaksanakan pembagunan dan apa saja aktiviti gereja kami laporkan secara terperinci penerimaan dan perbelanjaan setiap minggu. Begitu juga jumlah sumbangan yang diterima dari orang-perseorangan kami laporkan. Jemaat sangat berpuas hati, keyakinan terhadap pengurusan kewangan berputik semula, diterjemah dengan kehadiran ke gereja dan wang persembahan yang diterima. Hati jemaat gembira ketika memuji TUHAN, memang tidak dapat dinafikan pengurusan kewangan salah satu cabaran penyembahan dalam gereja secara tidak langsung. Wang boleh jadi kekuatan gereja dan juga boleh jadi pembunuh gereja, kalau tidak diurus dengan betul dan berintegriti. Semoga gereja-gereja seluruh dunia dapat melaporkan kewangan mereka sekerap yang mungkin, jangan sekali-kali berbohong sebab Roh Kudus tahu seperti kisah suami isteri Ananias dan Safira itu (Kis 5:1-11). Sikap pemimpin gereja Sikap pemimpin gereja sangat mempengaruhi suasana penyembahan dalam gereja secara tidak langsung. Katakan kita sedang menuju ke pintu gereja disambut dengan ramah oleh gembala sidang, apa perasaan dan tindak balas kita semasa memuji dan menyembah TUHAN dalam kebaktian. Katakan kita sedang menuju ke pintu gereja tidak disambut oleh siapa-siapa, gembala yang melihat anda pun langsung tidak memberi reaksi apa-apa, saya dapat bayangkan respon kita dalam kebaktian pun agak hambar tanpa kita sedar. Walaupun bukanlah harapan kita disambut oleh gembala, pemimpin atau petugas penyambut tetamu tetapi kalau itu dilakukan sangat besar kesannya dalam ibadah. Saya yakin gembala atau pemimpin gereja dan petugas penyambut tetamu kalau mereka melakukan penyambutan anggota jemaat dengan penuh kasih, penyembahan mereka juga akan berbeza. Teringat saya kisah Absalom putera raja Daud, selama empat tahun dia melakukan penyembutan rakyat dengan sujud menyembah, mengulurkan tangannya dan mencium mereka yang ingin berjumpa dengan raja, akhirnya dia dikenali dan ramai pengikut, dia berjaya mencuri hati rakyat. Dikatakan bahawa “Hati orang Israel telah condong kepada Absalom” Sehingga dia dengan mudah dapat mengulingkan raja Daud bapanya sendiri tanpa pertumpahan darah (2 Samuel 15:1-17). Begitulah kuatnya kesan penyembutan kepada rakyat, kesan yang sama juga boleh berlaku kepada jemaat gereja yang datang beribadah. Suasana kebaktian pun tanpa sedar diperbaiki dari masa kesemasa. Penutup Semoga cabaran-cabaran dalam penyembahan dalam gereja kita dapat diurus dengan bijak sebelum menjadi parah kemudian menghancurkan gereja sebab tidak ada lagi anggota jemaat yang mahu hadir kebaktian. Perlu kita ingat tanpa jemaat tiadalah gereja, gembala, pemimpin gereja, pelayanan dan sebagainya. Mari kita sama-sama cermati cabaran-cabaran itu demi kelangsungan gereja Tuhan Yesus yang kita kasihi di tempat kita masing-masing. SEKIAN.

Comments

Popular posts from this blog