Tugasan: Esei Tentang Sejarah Gereja Asal Anda (1800-2000 PP)
Subjek: Kekristianan Sedunia 1 (Tiga Jam Kredit), Jun-Oktober 2021.
Nama Pelajar: Manuel Bin Akiun
Program: Bachelor Divinity.
Pengenalan
Kewujudan sesebuah gereja di dunia mempunyai sejarah tersendiri yang unik, menarik dan bernilai teologi yang boleh menjadi sumber inspirasi generasi yang akan datang. Kita semua berterima kasih kepada individu yang telah berusaha menulis sejarah gereja dunia yang kini menjadi rujukan pengajaran dalam subjek “Kekristianan Sedunia 1” di seminari seluruh dunia. Giliran kita pula menulis sejarah gereja asal kita sebagi rujukan dan siapa tahu ada lagi yang mahu menulis sejarah itu pada masa akan datang. Dalam esei pendek ini saya cuba menceritakan sejarah gereja asal saya yang bernama gereja Protestant Church in Sabah (PCS) Jemaat Nongkul paroki Sikuati Kudat Sabah Malaysia dari tahun 1960 sehingga tahun 2010.
Tahun 1960-1970
Ada seorang lelaki yang bernama Operal Bin Agasap, dia adalah orang kampung Nongkul berumur 18 tahun, dialah orang pertama yang dibaptis. Kemudian dia menjadi penginjil di kampung kami. Tetapi penginjilannya tidak meyakinkan orang kampung untuk menerima Tuhan Yesus, mungkin terlalu singkat berada di kampung selepas dibaptis, sebab selepas itu dia berkawin dan meninggalkan kampung Nongkul dan tinggal di kampung isterinya di kampung Lajong Kudat. Kemudian dia bekerja dengan misinori di Sikuati sebagai pembantu rumah dan tukang kebun.
Kemudian para misinori datang di kampung Bonduk bersempadan dengan kampung Nongkul mereka memberitakan Injil sekitar tahun 1960 sehingga 1970, beberapa belia kampung Nongkul datang mendengar khutbah para misinori dari Jerman itu di rumah panjang kampung Bonduk. Tetapi mereka tidak berminat menerima Injil pada masa itu. Penduduk kampung Bonduk pula menerima Injil dan kemudian mereka dibaptis. Penduduk kampung sekitar seperti kampung Narandang, Kiopu, Pituru, Garau dan lain-lain mereka pun menerima Injil.
Masa terus berlalu kampung sekitar yang sudah menerima Injil mereka mula mendirikan gereja masing-masing dengan bantuan para misinori. Tinggal lagi kampung Nongkul yang masih tidak berminat menerima Injil.
Tahun 1970-1980
Para belia yang menghadiri khutbah para misinori yang datang di kampung berdekatan dengan kampung Nongkul sudah meningkat dewasa dan mendirikan rumah tangga salah satunya ialah Leku. Pergaulan mereka pun semakin berkembang dan sudah melihat perubahan kampung-kampung yang menerima Injil lebih maju berbanding dengan kampung mereka. Kampung lain tidak lagi sibuk menyediakan ritual keagamaan setiap tahun yang memerlukan banyak biaya dan masa, apa tidaknya babi saja paling tidak ada tujuh ekor dan ayam dalam sepuluh atau lebih, ditambah lagi dengan penyediaan tempat pengupacaraan. Disamping itu menyediakan pakaian dan kelengkapan lain para bobolizan dan upah setiap bobolizan yang mengupacarakan ritual tahunan itu. Kalau dibandingkan dengan nilai wang pada hari ini lebih kurang RM10 ribu setiap kali mengadakan Ritual pemujaan setiap tahun. Ini tidak termasuk keperluan semasa mengikut keperlua contohnya apabila ada ahli keluarga yang sakit, tanaman padi tidak manjadi atau mendapat mimpi yang bermaksud sesuatu yang memerlukan persembahan korban binatang, kekadang dua atau tiga bulan sekali menyediakan bahan ritual pemujaan walaupun tidak sebanyak ritual tahunan. Kalau masih lagi keadaan tidak menjadi baik seperti sakit, tanaman padi tidak menjadi maka diusulkan oleh ketua kampung untuk berpindah. Berpindahlah mereka ke kawasan baharu dengan harapan orang sakit akan sembuh dan tanaman padi menjadi, begitulah putaran kehidupan suku kaum Rungus sejak sekian lama sebelum menerima Injil.
Melihat kehidupan baharu orang kampung yang menerima Injil orang kampung Nongkul mula tertarik dan menawarkan diri dibaptis, antaranya Leku sendiri pada masa itu dia sudah berumah tangga dan memiliki beberapa orang anak. Leku rajin mengikuti pertemuan penginjil di Sikuati yang dianjurkan secara tetap oleh misinori yang menjaga pada masa itu, sehingga dia semakin memahami Injil.
Leku kemudian menjadi penginjil di kampung Nongkul, dia berusaha memberitakan Injil dikalangan orang kampung hasilnya semakin ramai yang menerima Injil dan mahu dibaptis. Orang kampung Nongkul yang sudah menjadi Kristian susah hadir kebaktian hari Ahad sebab di kampung kami belum ada gereja, kalau mereka mahu hadir kebaktian mereka perlu ke gereja terdekat iaitu gereja kampung Bonduk, Pituru atau Garau. Gereja kampung Bonduk paling dekat dan kerap mereka hadiri. Itu sebab ada yang menganggap orang kampung Nongkul adalah jemaat gereja kampung Bonduk pada masa itu.
Tahun 1980-1990 Pada awal tahun 80an Leku sudah berpindah dikampung asalnya yang jauh dari kampung Nongkul, setelah kembali di kampung asalnya dia tidak lagi aktif dalam gereja akhirnya dia kembali lagi kepada agama asal (Labus).
Sehingga awal tahun 1980 orang kampung Nongkul yang telah menjadi Kristian masih lagi hadir kebaktian di gereja kampung Bonduk jarak lebih kurang 5 km, pergi balik 10 km, sangat memenatkan kalau berjalan kaki dengan panas terik atau berhujan. Pada masa itu belum ada kenderaan di kampung Nongkul, basikal pun boleh dikira.
Timbulah cadangan dari orang kampung yang bernama Yabit Binti Talo dia ialah ibu saya sendiri, dia mengatakan kenapa tidak diadakan kebaktian di kampung Nongkul. Cadangan itu mendapat sokongan orang lain akhirnya sampai kepada pengetahuan pendeta yang menjaga paroki Sikuati (kampung Nongkul terletak dalam paroki Sikuati) dan diterima baik oleh pendeta tersebut, pendeta itu bernama Porodong Magilin. Akhirnya buat pertama kali diadakan kebaktian hari minggu sejak dua puluh tahun Injil bertapak di kampung kami.
Oleh sebab belum ada gedung gereja kebaktian diadakan di rumah panjang, pada masa itu masih ada rumah panjang di kampung Nongkul. Tempat kebaktian secara bergilir-gilir bergantung kepada anggota jemaat yang menawarkan diri.
Pada tahun 1984 ada satu orang kampung Nongkul yang bernama Agapul Bin Kadakang, dia ada rumah di tanahnya yang mereka tidak diami lagi sebab ada rumah panjang kampung yang dibina oleh kerajaan Sabah. Beliau mencadangkan agar rumah mereka dijadikan tempat ibadah. Cadangan itu disambut dengan penuh kegembiraan oleh penduduk kampung terutama para belia pada masa itu yang sangat bersemangat mengadakan kebakitan, salah seorang belia pada masa itu Wellin Binti Esada. Wellin dan rakan-rakanya mengikhtiarkan tempat duduk jemaat dalam rumah Agapul dari bambu, mereka mengambil sendiri bambu dari kebun orang kampung yang berdekatan, kemudian beberapa belia lelaki dan beberapa lelaki lain bergotong-royong menjadikan bambu yang telah diambil menjadi kerusi jemaat antara belia lelaki itu ialah Anthony Magaat.
Pada tahun 1985 pengerusi JKKK (Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung) pada masa itu iaitu Agapul Bin Kadakang memohon kepada kerajaan negeri Sabah membina bangunan gereja kampung Nongkul. Syukur kepada TUHAN sebab permohonanya diluluskan oleh kerajaan negeri pada masa itu kerajaan PBS (Parti Bersatu Sabah) ketua menterinya Jospeh Pairin Kitingan seorang Katolik. Peruntukan sebanyak RM6 ribu, walaupun jumlah amat kecil jika dibandingankan nilai wang pada masa sekarang (2021) tetapi pada masa itu cukup untuk membina sebua bangunan gereja kayu yang berukuran 16 kaki lebar dan 20 kaki panjang berbumbung zink.
Duit sudah ada timbul pula masalah untuk mendapatkan tapak bangunan gereja, Agapul sendiri tidak sanggup mendirikan bangunan gereja di tanahnya begitu juga yang lain tidak mahu tanah mereka didirikan bangunan gereja. Akhirnya Akiun Bin Kula iaitu bapa saya sendiri setujuh memberikan satu ekar tanah miliknya diberikan kepada gereja, tanah itu berhampiran dengan jalan raya dan rumah kami. Kerja-kerja pembinaan pun berlangsung pekerja diberi upah RM8.00 sehari. Akhirnya bangunan gereja PCS Jemaat Nongkul siap dibina pada penghujung tahun 1985. Paling gembira pada masa itu Akiun sendiri sebab bangunan gereja itu hanyalah beberapa meter daripada rumahnya tidak perlu lagi berjalan kaki berkilometer jauh seperti 20 tahun yang lepas. Tahun berikutnya dipohon lagi peruntukan untuk menyimen lantai gereja itupun diluluskan, akhirnya lantai gereja kini sudah disimen. Bangunan gereja ini digunakan sehingga tahun 2007 (22 tahun)
Kemudian datang gerakan karismatik di kampung Nongkul yang dibawa oleh beberapa orang dari kampung berdekatan iaitu kampung Naradang, Garau dan Bonduk. Diantara mereka ialah Jiun, dialah yang membawa gerakan krismatik ke kampung kami, pada masa itu saya masih budak yang berumur 12 tahun, saya masih ingat ada masa-masa tertentu mereka mengadakan kebaktian setiap malam sehingga larut malam.
Orang kampung mula terganggu dengan gerakan ini, ada yang secara terang-terangan melarang mereka antaranya David Magaat, dia ialah orang kampung Nongkul yang mendapat pendidikan di seminari Singapura, dia tidak menetap di kampung Nongkul tetapi masih berhubungan rapat dengan orang kampung sebab semua ahli keluarganya ada di kampung. David datang ke kampung Nongkul dan memberi nasihat dengan alasan-alasan teologi yang sangat menyakinkan penduduk kampung dan juga para belia yang dibuai gerakan krismatik pada masa itu. Antara belia yang menyokong nasihat David ialah Moribun Yabahar.
Moribun ketika berumur 25 tahun sudah dilantik menjadi ketua gereja (pembantu pendeta), dia mengembalikan kebaktian asal gereja mengikut liturgi yang telah ditetapkan oleh gereja pusat kami (PCS) yang selama beberapa ketika tidak digunakan sebab terpengaruh oleh gerakan karismatik.
Tahun 1990-2000
Kebaktian di gereja pulih seperti mana sebelum gerakan krismatik di kampung Nongkul. Walaupun begitu semangat orang datang kebaktian semakin pudar, ada ketika hanya 5 orang saja yang hadir kebaktian daripada lebih kurang 200 orang di kampung. Antara faktor penyumbang masalah ini ialah kekurangan penginjil yang boleh berkhutbah semasa kebaktian hari Ahad dari kampung Nongku sendiri, penginjil Leku sudah balik kampung asalnya, David jarang sekali balik kampung, penginjil-penginjil dari kampung lain kerap kali tidak dapat datang memenuhi jadual pelayanan sebab jarak yang agak jauh dengan hanya berjalan kaki. Selalu berlaku kebaktian tidak dapat diadakan, anggota jemaat yang datang pulang begitu saja, selain daripada itu keluarga Esada memisahkan dari jemaat Nongkul pada tahun 1996 dan mendirikan jemaat Rumbizo akibat salah faham dengar-dengar cerita disebabkan biskut Krismas. Keluarga Esada boleh dikatakan tulang belakang gereja Nongkul pada masa itu. Inilah antara punca kehadiran kebaktian yang sangat sedikit. Boleh dikatakan tempoh sepuluh tahun itu masa kegelapan bagi jemaat Nongkul.
Pada masa yang sama Operal yang mula-mula dibaptis sudah kembali di kampung, dia aktif semula dalam gereja sebagi penginjil memberi khutbah semasa kebaktian umum hari Ahad, selain daripada itu beberapa ibu masih aktif hadir ke gereja antaranya Yabit, Jainie, Ongulimpak, Fenny isteri kepada Moribun, Oguroling, Dusi dan Inobuting. Mereka membawa sekali anak-anak mereka. Kalau bukan sebab mereka mungkin gereja Nongkul akan ditutup sebab tidak ada anggota jemaat yang hadir kebaktian. Boleh dikatakan pada masa itu hanya ibu-ibu dan kanak-kanak saja yang hadir kebaktian. Saya yakin inilah pertolongan TUHAN menyelamatkan gereja kami melalui para ibu dan melalui individu tertentu.
Tahun 2000-2010
Syukur sehingga milineum baharu gereja kami masih kekal berdiri dengan kekuatan para ibu dan beberapa orang lelaki di bawah kepimpinan Moribun Yabahar. Pada tahun 2000 saya habis pengajian diploma perubatan dalam bidang ‘Occupational Therapy’, belajar semalam tiga tahun di Kula Lumpur. Saya balik kampung Nongkul. Semasa dalam pengajian saya menjadi anggota gereja SIB di Kuala Lumpur, tidak dapat tidak pengaruh karismatik masih melekat dalam gaya kerohanian saya pada masa itu dan tanpa sedar terbawa-bawa di gereja kampung Nongkul. Sekali lagi mimpi ngeri gerakan karismatik pada tahun 1986 dihidupkan kembali. Moribun paling kuat menentang gaya pelayanan ala krismatik, tetapi para belia pada masa itu sangat teruja, mereka mula hadir kebaktian hari minggu.
Saya merancang beberapa aktiviti seperti mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan gereja. Bayangkan jarak bagunan gereja dari rumah kami beberapa meter sahaja tetapi hanya bumbung gereja yang kelihatan sebab kawasan gereja sudah menjadi hutan, tinggal beberapa kaki saja dari bangunan gereja yang masih boleh dilalui. Para belia lelaki datang bergotong-royong tidak sampai satu hari kawasan gereja sudah dibersihkan. Penduduk kampung punyalah terkejut, mereka mula memberi perhatian kepada gereja dan buat pertama kalinya tempat duduk gereja dipenuhi oleh anggota jemaat yang hadir kebaktian, bukan sekali tetapi hampir setiap minggu.
Rupanya gaya pelayanan ala krismatik yang saya bawa berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1986, Moribun dan anggota jemaat yang lain seperti Piring, Agapul dan Hendry mula memberi isyarat menyokong, syukur sekali lagi kepada TUHAN, ada kalanya TUHAN menggunakan kita sendiri untuk memajukan gereja, daripada terus berharap kepada orang lain atau orang luar, kitalah yang patut bertindak.
Pada tahun yang sama, saya mengadakan mesyuarat agung gereja buat pertama kalinya sejak penubuhan gereja Nongkul pada tahun 80an. Antara keputusan mesyuarat itu ialah wang gereja tidak boleh lagi dipinjam, sebab sebelum ini lebih separuh wang gereja dipinjam oleh orang kampung dan tidak dibayar sehingga bertahun-tahun.
Saya juga telah menubuhkan jawatan kuasa pelayanan belia, antara aktiviti belia yang kami lakukan ialah penginjilan di pekan Kudat dan bandaraya Kota Kinabalu dengan mengedarkan risalah tentang Tuhan Yesus yang dikeluarkan oleh Campus Crusade, sebanyak satu ribu keping risalah telah kami edarkan selama 2 hari dengan kerjasama St James Kudat, mereka menyediakan van gereja dan pemandu mereka untuk kami gunakan sepanjang misi mengedar risalah di bandaraya Kota Kinabalu. Seramai 12 orang belia bersama-sama dengan saya antaranya Herius, Gonsuri, Angelin, Fonny, Onoong, Nelcy, Lawrance, Jasmin, Jikilim dan beberapa lagi saya tidak ingat.
Pada pertengahan tahun 2000 kami mengadakan sambutan ulang tahun gereja PCS Jemaat Nongkul ke-16 (1984-2000), kami menjemput pendeta yang menjaga paroki Sikuati dan para pemimpin paroki Sikuati. Pada masa itu kami melancarkan lagu tema gereja PCS Jemaat Nongkul yang bertajuk “Seia, sekata dan seperasaan dalam Kristus” Lirik oleh saya sendiri, muzik oleh Lawrance Magaat dan Herius Magabu. Sampai sekarang lagu itu masih kami nyanyikan terutama ketika perayaan gereja seperti Krismas, Kaamatan, ulang tahun gereja dan sebagainya.
Pada tahun 2007 bulan Mac gereja kami mendapat peruntukan kewangan sebanyak RM25 ribu untuk pembaikan bangun gereja dari kerajaan negeri Sabah, wakil rakyat kami pada masa itu YB Jornah Mozihim dia ialah orang kampung Bonduk. Walaupun peruntukan yang agak kecil untuk membina sebuah bangunan gereja tetapi kami berjaya menyiapkannya, gereja lama kami robohkan bahan yang masih utuh kami gunakan semula. Tapak yang sama cuma saiz yang berbeza, 20 kaki lebar dan 35 kaki panjang berbanding 16 kaki lebar dan 20 kaki panjang bangunan lama yang dibina pada tahun 1985 dengan peruntukan RM6 ribu. Kali ini bangun gereja keseluruhannya adalah konkrit lantai bertiles bumbung zink spandek. Pembinaan berlangsung selama 4 bulan secara bergotong-royong dengan sedikit saguhati. Pada bulan Julai tahun 2007 gereja siap dibina dan telah dirasmikan oleh YB Jornah Mozihim sendiri. Kali ini TUHAN memakai orang politik untuk memberkati gereja kami, tanpa kami pohon tetapi peruntukan diberikan atas usaha YB Jornah, sebab dia tahu bangunan lama sudah semakin dimama usia.
Pada tahun 2010 pada penghujung tahun, saya sifatkan tahun sedih bagi jemaat Nongkul sebab sebahagian besar jemaatnya telah berpindah tempat tinggal disebabkan tanah mereka termasuk dalam kawasan tadahan empang air Milau, dahulu tanah kering sekarang telah menjadi tasik besar seperti lautan di celah-celah bukit, pemandangan sangat cantik tetapi penduduk kampung sudah kehilangan tanah pusaka mereka. Empangan air inilah yang menjadi sumber air seluruh daerah Kudat dan sebahagian daerah Kota Marudu, tidak dapat dinafikan telah menyelesaikan masalah bekalan air daerah Kudat.
Selepas keluarga yang terlibat berpindah ke penempatan yang terletak lebih kuang 15 km dari kampung Nongkul, tinggal lagi 12 buah keluarga dari 30 keluarga sebelum ini. Sunyi sepi kami rasakan, macam mahu menangis rasanya.
Walaupun begitu ada satu orang yang sudah berpindah tempat tinggal tetapi masih lagi melayani di gereja Nongkul iaitu Jikilim Bahado anak kepada Dusi ibu yang selalu hadir kebaktian membawa anaknya bersama, salah satu anak yang dibawa itu ialah Jikilim. Dia mampu memberi khutbah dan pandai bertukang, merekalah yang membuat kerja-kerja pembinaan dan baik pulih gereja kami, selain Jikilim ada lagi iaitu Ronny Bin Akang juga orang yang penting dalam pertukangan. Merekalah yang mengetuai pembinaan pejabat, dewan makan gereja kini sudah menjadi rumah gembala, tandas gereja, landskap halaman gereja dan baik pulih kerosakan, selain mereka ada lagi iaitu Morijon Yabahar dia pandai dalam pendawaian elektrik. Begitulah hebatnya TUHAN memberkati gereja Nongkul melalui pelbagi cara tidak semestinya datang dari orang yang belajar di seminari. Walaupun begitu pengetahuan teologi sangat penting sebab itu saya sendiri berusaha mengikuti kelas di Seminari Teologi Sabah secara sambilan sejak tahun 2009 sehingga sekarang 2021. Semoga dapat membantu pembangunan dan kelangsungan gereja kami dimasa-masa akan datang.
Penutup
Inilah sejarah gereja kampung asal saya iaitu kampung Nongkul Kudat sehingga tahun 2010, syukur kepada TUHAN gereja kami masih ada sehingga hari ini (2021) saya percaya sebab pertolongan TUHAN sajalah gereja kami masih wujud. Semoga kasih karunia TUHAN terus menaungi dan memberkati gereja kami sampai bila-bila. Segala kemuliaan dan hormat hanyalah kepada Tuhan Yesus TUHAN kita. SEKIAN.
UJIAN MODUS Yunani 2/2021 Nama Pelajar: Manuel Bin Akiun Program: BD 1. Οτι μη πεπιστευκεν εις το το οναμα του μονογενους υιου του θεου. (Υoh 3:18) Πεπιστευκεν Κata kerja, Kala sempurna, Indikatif, Aktif, D3, Tunggal. Terjemahan kata kerja: Dia sedang percaya. Terjemahan ayat: Sebab dia tidak percaya ke dalam nama satu-satunya anak Tuhan itu. 2. Και ευθυς εκαλεσεν αυτους. (Μarkus 1:20). Εκαλεσεν Kata kerja, Aoris, Indikatif, Aktif, D3, Tunggal. Terjemahan kata kerja: Dia dulu sudah memanggil. Terjemahan ayat: Dan (dengan) serta-merta Dia memanggil mereka. 3. Και εβαλεν αυτους εις την γην. (Wahyu 12:4) Εβαλεν Kata kerja, Aoris, Indikatif, Aktif, D3, Tunggal. Terjemahan kata kerja: Dia dulu pernah melepaskan. Terjemahan ayat: Dan Dia melepaskan mereka ke dalam bumi itu. 4. και ελαλει αυτοις τον λογον. (Μarkus 2:2) Ελαλει Kata kerja, Kala Tak Sempurn, Indikatif, Aktif, D3, Tunggal. Terjemahan kata kerja: Dia sudah berkata Terjemahan ayat: Dan dia sudah katakan kepada mereka perka...
Comments
Post a Comment